minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

MGG167

Juadah Berlebihan di Bulan Ramadhan
(Gluttony  At Ramadhan)

Juadah yang berlebihan bukannya sesuatu yang boleh dikaitkan dengan bulan Ramadhan. Tetapi di Malaysia, itulah  hakikatnya. Kita tidak perlu pergi jauh untuk mengesahkan  perkara ini. Tempoh berpuasa selama 14 jam itu dianggap satu penderaan yang mesti  berakhir dengan  hidangan  laksana bankuet, untuk membolehkan seseorang makan sepuasnya, berbeza daripada kelazimannya, dan tidak kiralah berapa pula belanjanya. Pengurusan hotel dan restoran  memang pandai mengolah cara memancing pelanggan  untuk makan sebanyak yang mereka mahu dan membayar  pada kadar harga setinggi yang mereka mampu.

Berbuka puasa sendirian bukannya stail hidup di Malaysia. Kawan dan taulan diajak sama dan bil bayaran  setakat RM600 sekali makan adalah perkara biasa. Ada sebuah hotel yang mengenakan caj ¡¥Ramadhan Special¡¦  sebanyak RM400, termasuk sebuah kamar  yang selesa untuk anda menginap dan bangun selesa untuk bersahur keesokan harinya. Ada  pula hotel yang mengenakan harga RM75 satu kepala. Tetapi kebanyakan hotel mengenakan sebanyak RM50 sahaja.

Mengikut ajaran Islam inilah masanya seseorang itu bersabar, mengirimkan syukur kepada Allah yang maha besar, meneguhkan iman  dengan penuh kesedaran apa ertinya satu kelaparan. Sebaliknya ia dijadikan satu majlis dan temasya untuk menunjukkan kekayaan seseorang ataupun keupayaan berhutang sambil menjamu selera secara  berlebihan. Kini, ia dijadikan satu  dalil untuk mengadakan parti menjamu selera dengan nama Islam sebagai topengnya.

Mereka yang tidak mampu dengan harga yang tinggi digalakkan pula menikmati  hidangan yang seakan sama dengan harga yang murah lagi di tempat makan yang kurang bernama. Di situ pun juadah berlebihan memang disediakan. Perkara ini memang digalakkan secara rasminya. Apabila Perdana Menteri berbuka puasa  bersama menteri kabinetnya memang jelas  akan juadah berlebihan yang disediakan.  Malahan Pesta Ramadhan yang diadakan di setiap bulan Ramadhan adalah testimoni  pada galakan ini.  Di pesta ini, yang banyak dijual adalah makanan juga.

Ramadhan kini menjadi satu lesen terbuka untuk memperkecilkan  nasihat  ajaran  agama mengenai makanan. Seorang sahabat yang saya kenal selama 40 tahun, pernah meminta maaf kerana hidangan yang 'tidak seberapa'. Dia mengingatkan saya  hidangan yang diberikannya satu ketika dulu. "Ketika itu aku masih bekerja lagi."

Secara tidak langsung, bolehlah kita katakan, Ramadhan di Malaysia digunakan untuk menunjuk-nunjuk dan menayangkan wang berlebihan yang diperolehi secara tidak telus. Para menteri kabinet,  menteri besar dan ahli exco, memang mempunyai elaun keraian. (Satu ketika dulu elaun jamuan raya dan buka puasa adalah sekitar RM10,000, kini harganya tentu tinggi lagi). Inilah yang menyerlahkan bibit rasuah.

Inilah keangkuhan golongan yang kaya raya tanpa perlu bekerja yang menggalakkan  makanan dan juadah berlebihan itu. Setiap kehendak dan keinginan ditafsirkan kepada satu harga dan inilah yang membuatkan seseorang itu mampu menonjol dalam masyarakatnya.

Keadaan seperti di Malaysia ini  berlaku juga di negara lain. Saya pernah berada di Pakistan kira-kira lebih satu dekad yang lalu. Yang kaya memang terlalu kaya dan juadah Ramadhan adalah satu alat untuk mereka memperagakan kekayaan itu.  Tetapi si kaya itu disokong  dengan setianya oleh kumpulan pegawai kerajaan  dan mereka yang berada di kelas menengah  dan atasan. Kalau kita menghadiri satu majlis makan yang ditaja oleh  kedutaan di sana,  kita akan dapati para hadirin akan meluru ke meja hidangan dan menyapu bersih setiap juadah yang dihidangkan sehingga burung unta pun boleh naik cemburu melihatkan gelagat manusia seperti itu.

Apakah ini cara sebenar  orang Malaysia berbuka puasa? Saya pernah ternampak seorang pekerja  Melayu berbuka bersama  keluarganya  dengan menikmati ayam goreng KFC, memanglah murah  cara itu kalau dibandingkan  untuk menyediakannya di rumah sendiri. Makanan di gerai memang murah, tetapi kita mudah terlebih membelinya, "saya tidak mampu itu semua."

Di Malaysia, amalan Ramadhan di kalangan golongan miskin dikaitkan dengan makanan dan juadah yang berlebihan.  Tetapi ada juga pihak yang berbuka  dengan bersahaja. Mereka memulakannya dengan memakan manisan, selalunya kurma ataupun tamar. Kalau tidak sebarang manisan pun jadi, termasuk secangkir minuman teh. Mereka akan makan juadah yang lebih banyak selepas beberapa waktu kemudiannya. Orang Indonesia  berhenti makan  ketika tengah malam dan berpuasa selama lapan belas jam.  Mereka berbuka dengan juadah yang ringan dan tidak makan apa-apa lagi sehingga tengah malam tiba untuk bersahur.

Berpuasa seperti di bulan Ramadhan memang digalakkan oleh setiap agama.  Orang Kristian mengamalkan 'Lent'. Penganut Hindu berpuasa sebelum dan ketika mereka meraikan sesuatu majlis agama, dan ketika  mereka mahu melakukan satu perjalanan mengikut istiadat agama. Selalunya mereka berpuasa selama 14 hari tetapi boleh makan pisang dan susu di sepanjang  musim puasa itu. Namun, puasa yang diamalkan oleh  penganut agama lain tidak pula membabitkan juadah berlebih lebihan yang kita lihat terdapat pada bulan Ramadhan di Malaysia. Makanan yang dihidangkan  dalam upacara keagamaan di kuil  penganut Hindu dan Buddhist adalah untuk santapan para pengamal dan juga golongan yang miskin.

Puasa itu sepatutnya diamalkan secara bersahaja.  Satu peraturan agama untuk berpuasa seharusnya tidak dijadikan satu lesen untuk  mengadakan alasan. Tetapi inilah hakikatnya di negara ini.  Ramai pegawai profesional Melayu yang menjadikan puasa itu satu alasan untuk datang lambat bekerja ataupun melupakan janji mereka.

Inilah yang sudah menjadi satu  penyakit di negara ini. Alasan keletihan sudah dijadikan satu unsur yang sengaja diperakui sama ada secara rasmi ataupun tidak hingga menyebabkan kerja tergendala. Inilah sebabnya tidak banyak kerja yang diselesaikan pada bulan Ramadhan.  Kerajaan semacam menggalakkan fenomena ini tanpa bertindak ke atas mereka yang sengaja melakukannya. Ramai orang Melayu yang memberi kepentingan kepada puasa di bulan  Ramadhan itu dari aspek kewujudannya dan bukan dari aspek kerohanian yang  terbit  daripada kemunculannya.  Tidak hairanlah kalau seorang bragidier jeneral  dan beberapa pegawai kanan satu division  angkatan tentera telah terbunuh di zaman konfrontasi dulu, ketika mereka sedang berbuka puasa.

Al Quran telah mencatatkan beberapa pengecualian ketika seseorang itu melaksanakan tugas penting yang  menyangkuti ajaran agama. Sejak pembunuhan itu tidak ada lagi episod yang serupa terjadi di negara ini. Ia tidak mungkin berulang lagi.

Tetapi, apakah  perlunya kejadian seperti itu berulang lagi? Apakah perlunya jutaan  penganut agama Islam memerlukan keistimewaan dan pampasan khas untuk hanya berpuasa? Mestikah Ramadhan  itu terus dijadikan satu alasan untuk menyediakan juadah yang berlebihan?


-MGG Pillai-

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter